Sunday, 19 March 2017

100 BUDAYA PERAYAAN, 1 MALAYSIA!

Budaya perayaan bangsa majmuk di Malaysia


              Integrasi budaya dalam perayaan merupakan proses menyatupadukan berbagai-bagai kumpulan yang mempunyai perbezaan kebudayaan dan sosial ke dalam satu sistem wilayah bagi mewujudkan identiti nasional. Integrasi budaya di Malaysia bermatlamatkan mengurangkan perbezaan psikologi di antara penduduk dalam wilayah yang berkenaan. Seterusnya, mengatasi masalah perbezaan geografi dengan merapatkan perhubungan dan interaksi supaya wujud persefahaman antara penduduk dan suku kaum yang ada dan mewujudkan identiti bersama. Menurut kamus dewan edisi ke-4 budaya membawa takrifan cara hidup orang ramai termasuk pemikiran, nilai kepercayaan, pandangan dan tabiat berfikir serta cara perlakuan manusia yang menggerakkan jiwa.


Nilai kebudayaan ini termasuklah menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha serta perayaan kebesaran Islam yang lain bagi masyarakat Melayu. Menyambut perayaan Wesak, Tahun Baru Cina, Chap Goh Mei, Hari Krismas dan Opera Cina bagi masyarakat cina. Mengamalkan perayaan Deepavali, Thaipusam, Ponggal bagi yang beragama Hindu serta Vaisakhi bagi yang beragama Sikh bagi masyarakat India. Meraikan perayaan dan kebudayaan mengikut etnik seperti Hari Gawai dan Pesta Menuai atau Tadau Keamatan bagi etnik Sabah dan Sarawak.


Kepelbagaian bukan sahaja dari kepercayaan, keturunan, agama, etnik dan warna kulit mahupun sebarang latar belakang tetapi kebudayaan yang bermacam-macam juga menjadikan Malaysia seringkali dicemburui dan diiktiraf sebagai yang kompleks, rencam dan majmuk. Dalam kebanyakan negara, ia menjadi satu liabiliti dengan permusuhan yang berlarutan sehingga membawa konflik dan peperangan sedangkan di Malaysia kepelbagaian adalah kekuatan dan ia juga dimuatkan dengan usaha berterusan berinteraksi, integrasi memupuk semangat persahabatan dan ukhuwah yang berlaku di istana, Seri Perdana, rumah pembesar negeri dan rumah sendiri.


Di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri disambut dengan meriah. Berminggu-minggu sebelum perayaan tersebut menjelma, suasana persiapan menjelang Aidilfitri telah dirasai. Pusat-pusat membeli-belah akan mengadakan jualan murah dan dihiasi dengan perhiasan secara besar-besaran. Lagu-lagu raya juga akan diputarkan di radio dan di televisyen. Rancangan-rancangan yang berkisarkan Aidilfitri akan ditayangkan. Bank, sekolah, dan premis-premis perniagaan akan ditutup selama beberapa hari sehingga seminggu sempena Aidilfitri. Di jalan raya utama dan lebuh raya di seluruh negara, kesesakan akan berlaku akibat kebanjiran warga bandar yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama sanak saudara dan kaum keluarga. Fenomena ini juga dikenali sebagai Balik Kampung.



ntara amalan yang dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan ziarah-menziarahi. Pada pagi Hari Raya Aidilfitri (selalunya sebelum dan sejurus sesudah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri) mereka akan kunjung-mengunjungi ke rumah sanak saudara dan rakan taulan. Mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau

Pada asasnya, Hari Raya Aidilfitri adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah. Amalan memberi wang kepada kanak-kanak juga amat popular pada Hari Raya.


Perayaan dapat terus disambut sebegini kerana adanya kestabilan dan asas sebenar kepada hubungan antara etnik adalah kestabilan dalam negara yang membolehkan masyarakat hidup muhibbah dan rukun walaupun berhadapan dengan beberapa cabaran terutama dalam konteks mempertahankan apa yang sudah kita miliki selama ini. Malaysia merupakan sebuah negara yang bergelut mencari keamanan, gah dan boleh mengamalkan konsep ‘ziarah’dan ‘kunjung’ serta ‘lawat’.


Budaya-budaya ini begitu mahsyur dalam negara kita, hal ini kerana negara ini mempunyai pelbagai etnik yang mengamalkan perayaan mengikut adat resam mereka. Menurut akhbar Utusan Borneo, perayaan hari gawai secara umumnya merujuk kepada beberapa perayaan masyarakat Sarawak dan Kalimantan Barat tetapi pada kebiasaannya merujuk kepada pesta selepas menuai yang disambut oleh masyarakat Dayak yang merangkumi pelbagai etnik terutamanya kaum Iban atau dikenali sebagai. Masyarakat Dayak di Kalimantan Barat mengelar perayaan ini sebagai hari Gawai Padi untuk meraikan tamatnya musim menuai padi dan menandakan bermulanya musim penanaman padi yang baharu.



Perayaan Deepavali dikenali sebagai Perayaan Cahaya.



Tarian Singa yang sinonim dengan perayaan Tahun Baru Cina.


Budaya Tahun Baru cina merupakan adat dan pantang larang yang diamalkan oleh masyarakat cina semasa Tahun Baru cina seperti memberi angpau kepada kanak-kanak, berkumpul untuk hidangan malam pada malam sebelum Tahun Baru Cina dan sebagainya. (Wyne Loke (2002) Utusan Malaysia


Terdapat lebih kurang 15 perayaan agama hindu di Malaysia. namun skop perayaan yang terkenal ialah Deepavali dan Thaipusam. Hal ini kerana perayaan-perayaan tersebut merupakan perayaan yang terkenal dan sinonim dengan perayaan agama lain di Malaysia. (Kuala lumpur: fajar 1994)


sebagai sebuah negara majmuk, penduduk Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang mengamalkan pelbagai bahasa, agama dan kepercayaan, serta budaya yang berlainan. dengan adanya pelbagai perayaan yang unik dan pelbagai di Malaysia ini sedikit sebanyak dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan mencerminkan identiti masyarakat yang harmonis di mata pelancong asing. Hal ini demikian kerana terdapat negara-negara lain yang mempunyai penduduk majmuk seperti di negara kita juga, namun mereka gagal untuk mencapai tahap perpaduan seperti kita kecapi hari ini. Malah rakyat negara berkenaan saling membangkitkan isu perkauman yang kuat antara satu sama lain.


Di samping itu, apabila tiba musim perayaan, pelbagai pihak atau agensi baik dari jabatan kerajaan mahupun persendirian akan menganjurkan acara yang dikenali sebagai rumah terbuka Aidilfitri merupakan salah satu majlis rumah terbuka terbesar yang diadakan saban tahun. Inisiatif ini dilihat sebagai langkah berkesan dalam usaha mewujudkan perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat di negara ini. Penganjuran acara atau majlis seumpama itu juga dapat memberi peluang kepada kaum lain mengenali budaya serta adat resam kaum yang merayakan perayaan tersebut dengan mengamalkan budaya kunjung-mengunjungi rumah-rumah terbuka. Oleh yang demikian, penganjuran majlis seperti ini perlu diteruskan pada masa-masa akan datang agar sambutan perayaan dapat terus dijadikan sebagai salah satu medium untuk mengeratkan lagi perpaduan antara kaum di Malaysia


Kesimpulannya, kepelbagaian perayaan yang disambut di negara kita yang boleh dikatakan sebagai khazanah yang menjadi warisan negara yang tidak ternilai harganya. Semua pihak seharusnya sedar bahawa kepelbagaian sambutan perayaan yang ada di negara ini bukanlah suatu kekangan tetapi suatu keunikan dan kelebihan yang harus digunakan sebaik mungkin. Perayaan ini boleh dijadikan satu medium atau inisiatif bagi merapatkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain walaupun perbezaan kaum. Hal ini penting bagi mengekalkan kemakmuran negara dan keharmonian masyarakat.

2 comments:

  1. Terbaik...
    Terima kasih kerana memberi input kepada saya

    ReplyDelete
  2. Terbaik...
    Terima kasih kerana memberi input kepada saya

    ReplyDelete