Sunday, 19 March 2017

KATAKAN TIDAK KEPADA IKHTILAT!!!!


Bismillahirrahmanirrahim... Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Kali ini InsyaAllah kami ingin berkongsi akan 1 artikel yang dirasakan menarik untuk kita renungkan dan ambil teladan Ins
yaAllah.. 
Remaja di Malaysia merupakan golongan yang berumur 18 tahun hingga 21 tahun. Seperti yang kita ketahui, ALAM remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut nabi dalam satu senarai orang kenamaan akhirat adalah remaja yang terselamat dan menyelamatkan diri daripada zina.

Maksud hadis: “Lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata, ‘sesungguhnya aku takut kepada Allah.’”

Sebagai satu agama yang amat hebat, Islam menampilkan cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi penyakit seksual iaitu sebagaimana dalam firman Allah yang kita baca di atas, perkataan ‘janganlah kamu hampiri zina.’

Jelas diyatakan kalau menghampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya. Menghampiri bermakna apa saja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya, adalah HARAM.

Semuanya bermula dengan pergaulan bebas tanpa batas, berkawan tak salah yang salahnya bila melampaui batas. Pada mulanya takut untuk melakukannya, namun apabila telah mencuba dengan sekali, dan keinginan untuk melakukannya kali kedua dan seterusnya juga tinggi, maka terjadilah pergaulan tanpa batasan dan pelbagai kesan akan kita temui seperti pembuangan anak luar nikah. Semua itu dorongan daripada syaitan.

Contoh yang dapat kami berikan adalah pergaulan bebas antara para remaja lelaki dan perempuan masa kini sehingga terlupa bahawa mereka dilahirkan ke dunia adalah sebagai seorang muslim. Kes- kes maksiat seperti pembuangan bayi, menyukai sesama jantina, berzina, dan lain-lain telah menjadi salah satu budaya dalam negara kita, Malaysia. Oleh yang demikian, kami telah mengambil inisiatif untuk menggariskan dan menekankan berkaitan dengan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan agar dapat menjadi panduan dan tauladan kepada kami dan juga rakan-rakan yang lain dalam usaha menjadi mahasiswa cemerlang.

Kali ini kami tampilkan batas-batas dalam pergaulan supaya menjadi bimbingan kepada khalayak remaja sekalian. Etika pergaulan dan batas pergaulan di antara lelaki dan wanita menurut Islam :



· Menundukkan pandangan

· Pertemuan antara lelaki dan perempuan

· Percakapan yang ada tujuan dan tidak melunakkan suara

· Tidak menyentuh kaum berlawanan jenis




1. Menundukkan pandangan




Pandangan yang dimaksudkan di sini adalah pandangan yang biasa bukan bertujuan untuk menimbulkan hawa nafsu sama ada dari pihak lelaki atau perempuan.



ALLAH memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firman-NYA; Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (An-Nuur: 30)

Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, ALLAH berfirman; Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (An-Nuur: 31)



2. Pertemuan antara lelaki dan perempuan


Maksud pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat sunyi.

Dalam konteks hari ini lebih di kenali dengan istilah ‘khalwat’ mengikut kebiasaannya apabila dua orang yang bukan mahramnya bertemu di tempat sunyi, mereka akan mudah terdorong untuk melakukan maksiat.

Sebagai contohnya, seorang lelaki dan seorang perempuan berada dalam keadaan berdua-duaan ditempat yang gelap dan sunyi, pastinya akan menimbulkan satu perasaan yang boleh meningkatkan nafsu syahwat masing-masing.



Dari Ibnu Abbas .a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya. (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)



3. Percakapan yang ada tujuan dan tidak melunakkan suara


Percakapan atau perbualan yang dimaksudkan di sini ialah apabila dua orang individu yang bukan mahramnya bertemu dan bercakap-cakap dengan tujuan tertentu yang boleh mendatangkan syak wasangka.

Dalam soal ini bukan bermakna antara lelaki dan perempuan tidak boleh bergaul dan bercakap-cakap, Islam tidak melarangnya, tetapi percakapan yang dibenarkan ialah mempunyai tujuan yang tertentu atau urusan yang penting sahaja. Bercakap mestilah sesuatu yang tidak menimbulkan sebarang perasaan antara lelaki dan perempuan.

Seorang perempuan juga dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman ALLAH SWT; Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik. (Al-Ahzaab: 32)




4. Tidak menyentuh kaum berlawanan jenis



Bagi lelaki dan perempuan yang bukan mahram tidak boleh bersentuhan antara satu sama lain, ianya adalah Dosa. Walaubagaimanapun sentuhan tersebut, jika ia dilaksanakan dengan sengaja, maka berdosa si pelakunya dan haram. Menurut Islam hukum berjabat tangan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya juga adalah haram. Siti Aisyah r.a ada berkata: “…demi Allah, tidak pernah Rasulullah s.a.w menyentuh tangan seorang perempuan lain yang bukan mahramnya, hanya baginda membai’ah mereka dengan percakapan.” (Riwayat Imam Ahmad)

Bersentuhan badan bermakna apabila berlaku pertemuan mana-mana anggota tubuh badan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya.

Sentuhan di sini lebih bermaksud sentuhan dengan sengaja, lebih-lebih lagi hingga menerbitkan keinginan nafsu. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya jika kepala seseorang dari kamu ditikam dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya.”

Dari hadis di atas dapatlah kita mentakrifkan bahawa persentuhan badan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah dilarang keras Allah S.W.T.



Tuntasnya, setiap masalah itu ada jalan dan cara yang boleh kita laksanakan untuk atasi masalah-masalah seperti pergaulan bebas ini agar tidak berlarutan dan dapat dibendung. Justeru, semua pihak haruslah memainkan peranan mereka sebaik-baiknya kerana jika aktiviti pergaulan secara bebas tidak dibendung, pastinya masalah yang lagi besar akan menimpa individu, masyarakat dan juga negara. Oleh itu, dinyatakan disini mengenai batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan agar golongan remaja dapat faham dan mengambil tindakan yang bijak dalam melakukan sesuatu perkara agar tidak terjebak dengan kancah seperti pergaulan bebas ini yang mana adalah haram dan boleh mendatangkan kemurkaan ALLAH S.W.T.

No comments:

Post a Comment