Sunday, 19 March 2017

KHAZANAH PERPADUAN KAUM

Keindahan Malaysia yang mempunyai berbilang kaum yang menjadi khazanah tanah air.


            Perkauman bermaksud isu-isu yang melibatkan hubungan antara kaum dalam aspek penggunaan bahasa, dimensi agama, tingkah laku sosial, perlakuan fizikal, sektor pekerjaan, perbuatan buli, penulisan dan literature, rasisme dan seumpamanya. Dalam konteks Malaysia, isu-isu sensitive pula membawa erti isu-isu yang melibatkan perkara-perkara yang sensitif dalam Malaysia berkaitan dengan hak-hak keistimewaan Melayu, status Bumiputera, kontrak sosial, bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan, system kuota dan perkara-perkara stereotype.

            Isu-isu ini tidak boleh dibahaskan, didebatkan atau dibincangkan secara terbuka kerana ia akan membawa kepada api permusuhan hasil daripada perasaan kurang senang dan tidak berpuas hati. Isu-isu sensitif ibarat api dalam sekam yang menyala dalam diam-diam hingga boleh membawa kepada kebakaran. Ini juga boleh membawa kepada insiden konflik atau pergaduhan antara kaum.


Firman Allah: (maksudnya) “ Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.(Surah AL-Hujurat: 13).


Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatic keturunan.

Kata Sayyid Qutb dalam menafsirkan ayat ini:  Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, Negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Apa-apa sahaja tindakan atau peraturan yang boleh membawa permusuhan atas dasar bangsa dan etnik, maka ia menjurus kepada unsur ketidakadilan yang ditolak oleh prinsip asas Islam.

Peristiwa hitam negara akibat perkauman yang diingati selamanya sebagai "13 MEI".


           Isu-isu yang pernah membawa kepada pergaduhan antara kaum ini adalah peristiwa 13 Mei 1969. Tanggal 13 Mei 1969 tercetus satu detik hitam dalam lipatan sejarah Negara kerana pertelingkahan kaum yang berlaku telah mengakibatkan Negara kehilangan banyak nyawa dan kerugian harta benda. Ia mempunyai kaitan rapat dengan Pilihanraya Umum 1969 di mana di dalam pilihanraya itu banyak isu sensitif telah dibangkitkan seperti bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang melayu dan hak kerakyatan bukan melayu. Dalam pilihanraya itu, parti perikatan gagl memperolehi majority 2/3 dalam dewan rakyat manakala parti gerakan dan DAP yang berjaya mendapat 25 kerusi telah mengadakan perarakan di Kuala Lumpur sambil menghina bangsa melayu. Keadaan ini memberi tamparan hebat kepada orang melayu dan akhirnya UMNO telah mengadakan perarakan balas sebagai bantahan terhadap penghinaan itu. Dalam suasana tegang dan penuh emosi maka tercetuslah peristiwa 13 Mei 1969 itu.

           Secara kesimpulannya, peristiwa 13 Mei 1969 bukan sahaja dicatat sebagai sejarah pertelingkahan kaum yang menggariskan sempadan-sempadan yang harus diteliti dan dipelihara oleh semua pihak, malah ia turut memaparkan rahsia-rahsia pembinaan Negara dan bangsa yang mencakupi bidang-bidang politik, sosial dan ekonomi serta betapa pentingnya integrasi nasional. Andai kata petanda-petanda yang diperolehi itu gagal dimanfaatkan sudah tentu cita-cita untuk membina Malaysia sebagai sebuah Negara maju dan makmur akan menjadi bayangan sahaja. Peristiwa 13 Mei memberikan kesan positif kepada Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Tragedi berdarah 13 Mei mesti menjadi iktibar pada rakyat Malaysia. Tetapi, pada masa kini, kita rakyat Malaysia seakan mengabaikan hubungan antara kaum dan setiap kaum pula saling tuduh menuduh, fitnah menfitnah, malah sudah wujud riak-riak perbalahan melibatkan kaum. Cuma riak itu belum menjadi gelombang. Ini kerana mereka lupa sejarah iaitu sejarah hitam 13 Mei 1969. Mungkin sudah tiba masanya kita menyambut setiap kali 13 Mei dengan satu acara yang membolehkan seluruh rakyat Negara mengingatinya dengan harapan kita tidak melakukan perkara-perkara yang boleh berulangnya peristiwa hitam itu. 13 Mei merupakan satu pengalaman dan pengajaran yang tidak patut kita lupakan buat selamanya kerana kejadian itu dapat menunjukkan kepada kita semua bahaya-bahaya yang boleh timbul sekiranya kita terlampau lalai dan cuai. Kita seharusnya berbangga dengan apa yang telah kita capai. Dengan semangat perpaduan dan keharmonian serta kerjasama antara pelbagai kaum ini, maka kita telah mengatasi segala kesulitan untuk mencapai segala kesulitan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran Negara. Oleh itu, amatlah mustahak bagi kita semua untuk cuba sedaya upaya hidup bersama-sama dan cuba memahami antara satu sama lain dengan semangat persefahaman dan hormat-menghormati.

Kesejahteraan negara bermulanya dengan perpaduan kaum.

No comments:

Post a Comment